Friday, December 23, 2011

Taqwa Inside !

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

السلام عليكم semuanya..

Semoga sihat hendaknya, dalam menjalani kehidupan seharian dengan kebaikan.

Alhamdulillah.

Merujuk kepada tajuk post RETURN pada kali ini, kami dengan sebaik mungkin akan cuba menghuraikan satu perkongsian tentang posisi serta huraian tajuk itu sendiri, iaitu 'Taqwa Inside'.



Perlu kita ingat, bahawa segala perkara yang zahir, yang boleh dilihat, itulah yang dinamakan syariat. Kita boleh ibaratkan, syariat dalam konteks Islam sebagai kulit.

Sesuatu perkara yang hanya mempunyai kulit, tapi tidak mempunyai isi, tidak berguna, tidak membawa apa-apa erti.

Sebagai contoh, kita beli buah epal.
Macamana kita menilai baik buruknya buah epal itu?
Belah ?
Tidak..




Kita mesti tengok kulitnya dulu kan.
Kalau kulitnya elok, merahnya cantik, kulitnya licin. Kemudian baru kita cuba menilik isinya, baik atau tidak bergantung kepada keadaan kulitnya.

Tapi, hakikatnya, kita beli buah epal itu untuk makan isinya, bukan kulitnya.

Itu contoh dari buah epal.

Cuba kita lihat dari aspek daging binatang pula.

Islam mengharamkan kita makan daging binatang yang halal, tetapi sudah tidak bernyawa, contohnya lembu yang mati kerana dilanggar oleh sebuah lori, haram bagi kita untuk makan daging lembu tersebut, kerana ianya sudah tidak bernyawa lagi. Jika lembu itu disembelih ketika masih bernyawa, itulah yang sebaiknya untuk kita makan.



Apa yang cuba disampaikan dari perihal daging lembu itu tadi ialah sesuatu yang tidak ada roh itu sudah tidak ada erti lagi. Oleh sebab itu, Islam mengharamkan umatnya memakan bangkai, iaitu daging haiwan yang tidak disembelih walaupun pada hakikatnya haiwan itu halal.

Ok, kita cuba kaitkan pula dengan ibadah seharian kita dengan dua contoh di atas.
Mungkin ramai yang masih keliru dan kurang jelas kan ?

Solat.

Bagaimana kita boleh kaitkan solat dengan 2 contoh tadi ?

Segala pergerakan, bacaan serta perlakuan kita itu adalah perkara yang zahir bukan?

Manakala khusyu' serta penghayatan hati kita pula adalah perkara yang tidak nampak, perkara yang ma'nawiyyah, perkara dalaman.


Untuk mendapatkan kesempurnaan solat, perkara yang hakiki(zahir) dan ma'nawi itu perlulah dijaga, supaya kedua-dua perkara ini mampu menjadikan solat kita itu sempurna, bermakna dan insyaAllah diterima oleh Allah dan diberikan ganjaran pahala serta menambah dan meningkatkan iman kita.

Tapi, harus diingat, seperti yang kita telah bincangkan tadi, perkara yang hakiki itu adalah badan, perkara ma'nawi itu adalah ruh. Tanpa ruh, badan sudah tidak bermakna lagi, hanyalah tinggal sekujur mayat yang kaku. Tetapi, jika jasad itu bernyawa, maka jasad itu sempurna, hidup dan boleh memberi manfaat terhadap dirinya sendiri, orang lain serta mengabdikan diri kepada tuhannya.

Dalam solat kita pula, perkara-perkara yang nampak atau boleh dengar, iaitu segala perlakuan dan gerak-geri serta sebutan kita dalam solat itu adalah perkara yang hakiki, perkara yang ibaratkan seperti jasad kepada solat kita. Apakah sempurna solat kita itu jika hanya melakukan perkara yang boleh dilihat dan didengar ?



Maka, sempurnanya solat kita itu apabila diiringi dengan perkara yang ma'nawi, yang tidak boleh dilihat, tidak boleh didengar, tidak boleh disentuh, tidak boleh digerakkan, iaitu penghayatan kita semasa solat, khusyu' kita, rasa rendah diri dan berdosa kita kepada Allah, rasa kehambaan kita terhadap Allah, rasa tunduk dan patuh kita kepada Allah. Apa yang telah kita sebutkan tadi, perkara ma'nawi itu adalah nyawa kepada solat kita, segala yang terkandung dalam hati.

Oleh itu sahabat-sahabat, sempurnanya solat kita apabila kedua-dua perkara itu tadi kita laksanakan dengan baik, dengan betul, dengan tertib.

Tapi, mana satu yang paling utama?

Perkara luaran, atau dalaman ?

Jawapannya, kedua-dua itu penting dan utama, tetapi yang lebih utama itu ialah perkara dalaman, kerana ianya melibatkan soal keimanan, keyaqinan, kepercayaan dan aqidah, kemudian diterjemahkan pula kepada penampilan luaran yang baik serta mencontohi akhlak yang dibawakan oleh baginda Rasulullah S.A.W.

Sahabat-sahabat,

realitinya pada hari ini, Islamnya kita pada hari ini hanya pada luaran saja, tetapi dalaman kita sangatlah lemah.

Kita lebih cenderung untuk hidup berpaksikan rukun Islam berbanding dengan rukun Iman, sedangkan kedua-dua ini sama-sama penting untuk menjadikan kita Muslim yang sempurna dan berjaya di dunia dan juga akhirat kelak.




Kita beribadat, kita solat, kita ruku', sujud dengan sempurna, tetapi semasa solat, fikiran kita memikirkan duit, urusan kerja, pasangan hidup dan lain-lain, sedangkan khusyu' dalam solat itulah kunci kesempurnaan solat, sekaligus menghidupkan solat kita itu sepertimana ruh yang menghidupkan sesuatu jasad. Jika solat tidak khusyu', maka solat kita itu tidak bermakna, solat kita mati. Hanya jasad saja bergerak, tetapi jasad itu tidak bernyawa.

Itulah salah satu contoh ibadah yang paling mudah untuk kita huraikan tentang menghidupkan sesuatu ibadah itu dengan iman dan taqwa, bukan sahaja melaksanakan segala syariat dalam setiap aktiviti kehidupan seharian, tetapi tidak ada ruh dalam apa yang dilakukan itu.

InsyaAllah dengan sedikit perkongsian ini, dapatlah kita simpulkan bahawa, setiap aktiviti yang kita lakukan itu, biarlah berlandaskan syariat Islam, iaitu perkara yang telah ditetapkan oleh agama, seperti yang telah kita sebutkan tadi, syariat itu ialah kulit, luaran yang boleh dilihat, yang boleh dinilai, jasad, atau badan pada sesuatu perkara, manakala, iman dan taqwa ketika kita melaksanakan syariat itu adalah isi, nyawa, ruh untuk menghidupkan serta memberi kesempurnaan kepada sesuatu aktiviti yang kita lakukan itu, supaya ianya tidak sia-sia, serta bermakna di sisi Allah.

Kami harap, segala kesilapan daripada perkongsian ini ditegur oleh sahabat-sahabat semua, supaya ianya tidak berulang lagi dan boleh diperbaiki untuk kebaikan kita semua.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...