Tuesday, November 5, 2013

Jom HIJRAH !

Bismillah, Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada para pembaca yang dihormati sekalian.

InsyaAllah, sedikit perkongsian santai sempena awal tahun baru 1435 Hijrah.



Sebagai permulaan, suka untuk dikongsikan bahawa perjuangan Rasulullah SAW menegakkan Islam bukanlah atas usaha baginda seorang diri, namun baginda berjuang bersama para sahabat, keluarga serta seluruh umat Islam.

Da'wah yang baginda lakukan para peringkat permulaan adalah dengan orang yang paling dekat dengan baginda serta para sahabat. Selain itu, usaha dalam menyatupadukan masyarakat juga giat dilakukan, dengan mendirikan sebuah pusat tarbiyyah masyarakat, iaitu masjid. Daripada masjid, masyarakat dan umat ditarbiyyah dengan pelaksanaan ibadah, ilmu-ilmu agama serta menjadi pusat komuniti, tidak sekadar pusat ibadah semata-mata.

Melalui penyatuan masyarakat melalui kerangka itu, da'wah menegakkan syiar Islam diperkembangkan ke peringkat yang lebih tinggi lagi, iaitu dengan membangunkan pemerintahan di Madinah. Hal ini terbukti dengan termeterainya suatu perlembagaan yang tertua yang seterusnya menjadi rujukan kepada seluruh tokoh pemikir di dunia, iaitu Piagam Madinah. Oleh itu, adalah tidak asing sekiranya jihad untuk menegakkan syiar Islam dengan memiliki kuasa pemerintahan itu adalah suatu keperluan kepada survival dan salah satu bentuk kepada da'wah.

Selain itu, sebagai utusan Allah, baginda juga dapat menyatupadukan masyarakat yang berbilang kaum dan agama dengan hablillah, iaitu dengan pendekatan Islam. Dengan perpaduan ini, masyarakat dapat hidup dengan harmoni di bawah kepimpinan seorang Rasul yang mereka hormati.

Oleh yang demikian, ketika umat sedang berada dalam jahiliyyah dan keruntuhan sosial yang sangat tinggi, maka telah diutuskan seorang Rasul yang membawa rahmat kepada seluruh alam, kepada seluruh manusia tanpa mengira bangsa dan agama, dengan menyebarkan keindahan dan kesempurnaan ajaran Islam yang suci.

Dengan Islam, masyarakat dapat disatupadukan walaupun mempunyai pelbagai jenis perbezaan latar belakang, dengan Islam akhlak dan moral individu dan masyarakat dapat diperbaiki dan diperkukuhkan. Tiada yang mustahil sekiranya sesuatu perkara itu dikembalikan kepada aturan Allah, iaitu syariat Islam sebagai jalan penyelesaiannya.

Maka kenapa perlu memilih selain daripada apa yang telah Allah syariatkan?

Ayuh, kita mulakan kalendar baharu hijrah ini dengan iltizam yang tinggi untuk menyerahkan diri kita sepenuhnya kepada Allahu Ta'ala dengan sedaya upaya untuk mendekatkan diri kepadaNya dan menunaikan segala perintahNya dan menjauhi laranganNya.

Tinggalkan tabiat buruk yang kita lakukan sebelum ini dan gantikannya dengan amal-amal soleh yang mampu mendekatkan diri kita kepada Allah. Jika sebelum ini kita suka menonton TV3, mungkin selepas ini sukakanlah diri untuk menonton TV Al-Hijrah.

 

Tidak cukup dengan itu, marilah kita sambung apa yang telah Rasulullah SAW, rasul junjungan yang teramat besar pengorbanannya dan para sahabat untuk kita, sehingga hari ke hari ini, dapat kita nikmati keindahan hidup dalam syariat Allah SWT, dengan sungguh-sungguh memperjuangkannya, demi kelangsungan kegemilangan Islam dan meletakkannya kembali di tingkat yang paling tinggi, insyaAllah.

Semoga Islam akan kembali menaungi dunia dan syariat Allah dapat ditegakkan, dan semuanya bermula dengan diri kita !

Jom !


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...