Friday, December 23, 2011

Taqwa Inside !

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

السلام عليكم semuanya..

Semoga sihat hendaknya, dalam menjalani kehidupan seharian dengan kebaikan.

Alhamdulillah.

Merujuk kepada tajuk post RETURN pada kali ini, kami dengan sebaik mungkin akan cuba menghuraikan satu perkongsian tentang posisi serta huraian tajuk itu sendiri, iaitu 'Taqwa Inside'.



Perlu kita ingat, bahawa segala perkara yang zahir, yang boleh dilihat, itulah yang dinamakan syariat. Kita boleh ibaratkan, syariat dalam konteks Islam sebagai kulit.

Sesuatu perkara yang hanya mempunyai kulit, tapi tidak mempunyai isi, tidak berguna, tidak membawa apa-apa erti.

Sebagai contoh, kita beli buah epal.
Macamana kita menilai baik buruknya buah epal itu?
Belah ?
Tidak..




Kita mesti tengok kulitnya dulu kan.
Kalau kulitnya elok, merahnya cantik, kulitnya licin. Kemudian baru kita cuba menilik isinya, baik atau tidak bergantung kepada keadaan kulitnya.

Tapi, hakikatnya, kita beli buah epal itu untuk makan isinya, bukan kulitnya.

Itu contoh dari buah epal.

Cuba kita lihat dari aspek daging binatang pula.

Islam mengharamkan kita makan daging binatang yang halal, tetapi sudah tidak bernyawa, contohnya lembu yang mati kerana dilanggar oleh sebuah lori, haram bagi kita untuk makan daging lembu tersebut, kerana ianya sudah tidak bernyawa lagi. Jika lembu itu disembelih ketika masih bernyawa, itulah yang sebaiknya untuk kita makan.



Apa yang cuba disampaikan dari perihal daging lembu itu tadi ialah sesuatu yang tidak ada roh itu sudah tidak ada erti lagi. Oleh sebab itu, Islam mengharamkan umatnya memakan bangkai, iaitu daging haiwan yang tidak disembelih walaupun pada hakikatnya haiwan itu halal.

Ok, kita cuba kaitkan pula dengan ibadah seharian kita dengan dua contoh di atas.
Mungkin ramai yang masih keliru dan kurang jelas kan ?

Solat.

Bagaimana kita boleh kaitkan solat dengan 2 contoh tadi ?

Segala pergerakan, bacaan serta perlakuan kita itu adalah perkara yang zahir bukan?

Manakala khusyu' serta penghayatan hati kita pula adalah perkara yang tidak nampak, perkara yang ma'nawiyyah, perkara dalaman.


Untuk mendapatkan kesempurnaan solat, perkara yang hakiki(zahir) dan ma'nawi itu perlulah dijaga, supaya kedua-dua perkara ini mampu menjadikan solat kita itu sempurna, bermakna dan insyaAllah diterima oleh Allah dan diberikan ganjaran pahala serta menambah dan meningkatkan iman kita.

Tapi, harus diingat, seperti yang kita telah bincangkan tadi, perkara yang hakiki itu adalah badan, perkara ma'nawi itu adalah ruh. Tanpa ruh, badan sudah tidak bermakna lagi, hanyalah tinggal sekujur mayat yang kaku. Tetapi, jika jasad itu bernyawa, maka jasad itu sempurna, hidup dan boleh memberi manfaat terhadap dirinya sendiri, orang lain serta mengabdikan diri kepada tuhannya.

Dalam solat kita pula, perkara-perkara yang nampak atau boleh dengar, iaitu segala perlakuan dan gerak-geri serta sebutan kita dalam solat itu adalah perkara yang hakiki, perkara yang ibaratkan seperti jasad kepada solat kita. Apakah sempurna solat kita itu jika hanya melakukan perkara yang boleh dilihat dan didengar ?



Maka, sempurnanya solat kita itu apabila diiringi dengan perkara yang ma'nawi, yang tidak boleh dilihat, tidak boleh didengar, tidak boleh disentuh, tidak boleh digerakkan, iaitu penghayatan kita semasa solat, khusyu' kita, rasa rendah diri dan berdosa kita kepada Allah, rasa kehambaan kita terhadap Allah, rasa tunduk dan patuh kita kepada Allah. Apa yang telah kita sebutkan tadi, perkara ma'nawi itu adalah nyawa kepada solat kita, segala yang terkandung dalam hati.

Oleh itu sahabat-sahabat, sempurnanya solat kita apabila kedua-dua perkara itu tadi kita laksanakan dengan baik, dengan betul, dengan tertib.

Tapi, mana satu yang paling utama?

Perkara luaran, atau dalaman ?

Jawapannya, kedua-dua itu penting dan utama, tetapi yang lebih utama itu ialah perkara dalaman, kerana ianya melibatkan soal keimanan, keyaqinan, kepercayaan dan aqidah, kemudian diterjemahkan pula kepada penampilan luaran yang baik serta mencontohi akhlak yang dibawakan oleh baginda Rasulullah S.A.W.

Sahabat-sahabat,

realitinya pada hari ini, Islamnya kita pada hari ini hanya pada luaran saja, tetapi dalaman kita sangatlah lemah.

Kita lebih cenderung untuk hidup berpaksikan rukun Islam berbanding dengan rukun Iman, sedangkan kedua-dua ini sama-sama penting untuk menjadikan kita Muslim yang sempurna dan berjaya di dunia dan juga akhirat kelak.




Kita beribadat, kita solat, kita ruku', sujud dengan sempurna, tetapi semasa solat, fikiran kita memikirkan duit, urusan kerja, pasangan hidup dan lain-lain, sedangkan khusyu' dalam solat itulah kunci kesempurnaan solat, sekaligus menghidupkan solat kita itu sepertimana ruh yang menghidupkan sesuatu jasad. Jika solat tidak khusyu', maka solat kita itu tidak bermakna, solat kita mati. Hanya jasad saja bergerak, tetapi jasad itu tidak bernyawa.

Itulah salah satu contoh ibadah yang paling mudah untuk kita huraikan tentang menghidupkan sesuatu ibadah itu dengan iman dan taqwa, bukan sahaja melaksanakan segala syariat dalam setiap aktiviti kehidupan seharian, tetapi tidak ada ruh dalam apa yang dilakukan itu.

InsyaAllah dengan sedikit perkongsian ini, dapatlah kita simpulkan bahawa, setiap aktiviti yang kita lakukan itu, biarlah berlandaskan syariat Islam, iaitu perkara yang telah ditetapkan oleh agama, seperti yang telah kita sebutkan tadi, syariat itu ialah kulit, luaran yang boleh dilihat, yang boleh dinilai, jasad, atau badan pada sesuatu perkara, manakala, iman dan taqwa ketika kita melaksanakan syariat itu adalah isi, nyawa, ruh untuk menghidupkan serta memberi kesempurnaan kepada sesuatu aktiviti yang kita lakukan itu, supaya ianya tidak sia-sia, serta bermakna di sisi Allah.

Kami harap, segala kesilapan daripada perkongsian ini ditegur oleh sahabat-sahabat semua, supaya ianya tidak berulang lagi dan boleh diperbaiki untuk kebaikan kita semua.

Thursday, December 1, 2011

Ini pilihan mereka, anda bagaimana ?

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum semua :)

Pada hari ini, semakin ramai artis yang 'kembali' kepada fitrah sebenar manusia untuk mencari dan menjadikan agama sebagai panduan dan landasan hidup, serta menjadikan Allah sebagai tujuan utama dalam kehidupan.

Lantaran itu, telah dianjurkan satu forum khas yang bertajuk Hijrah yang ku Temui.



Seronok mendengar dan melihat sendiri forum yang menampilkan 3 orang panel semalam, seorang Ustaz, penyanyi nasyid dan penyanyi rock kapak. Zaman dulu la.. Sekarang penyanyi rock kapak itu sudah jadi imam beb. Siapa tahu perancangan Allah macam tu kan.

Banyak yang telah dikongsikan dari 3 personaliti yang berbeza itu dari perspektif masing-masing.

Panelnya terdiri daripada :

Ust. Radzi ( ex. Kumpulan Melissa )
Ahmad Fazli (UNIC)
Ustaz Dr. Erwan ( Pensyarah USIM )

***

Menarik kupasan minda yang dilontarkan oleh setiap ahli panel berkenaan dengan topik yang dibincangkan.

Antara kata-kata Ust.Radzi yang sempat kami catatkan :



- saya jadi penyanyi rock dulu secara tak sengaja dan tak dirancang pun. Member-member yang ajak..

- saya terkesan dengan pertanyaan dalam satu konsert dulu. Biasanya penyanyi akan tanya " are you ready ? !! " tapi yang ni soalan lain sikit, " dah solat ke belum ? semua budak-budak tu diam, tak menjawab pun. Ni yang saya fikir-fikirkan..

- alhamdulillah sekarang, seorang demi seorang rakan-rakan saya datang berjumpa dengan saya, ingin sama-sama mendalami ilmu-ilmu agama dengan saya. Sekarang ni pun, kami ada rumah sendiri untuk kami sama-sama bertazkirah antara rakan-rakan artis.

- seni muzik tu elok sebenarnya, kalau baik niat, penyampaiannya, kandungannya, insyallah hasilnya akan baik. Tapi kalau niat bermuzik tu untuk benda tak baik, macam tu lah jugak hasilnya. Boleh kata muzik tu macam dadah. Ada addiction. Kita boleh jadi ketagih.Tapi ketagih tu bila kita salah guna. Kalau dadah tu sampai ke tangan orang yang tahu kegunaannya, contohnya doktor, dadah tu boleh jadi ubat.

Ini pula antara kata-kata Ahmad Fazli UNIC :



- penasyid itu adalah seorang penda'wah. Seorang penda'wah itu harus mempunyai ilmu untuk berda'wah. Da'wah itu mengajak orang lain kepada kebaikan. Melalui nasyid.

- penaysid itu adalah penda'wah. Kita yang hendak bawa agamaislam ini terikat dengan syariat Islam, untuk menyampaikan mesej Islam melalui nasyid/seni hiburan.

- kami di Gabungan Penasyid-penasyid Malaysia ( MUNSYID ) baru saja selesai berusrah semalam, kami ingin menubuhkan MUNSYID ini sebagai satu badan yang berdaftar, supaya kami semua boleh memperjuangkan industri hiburan Islam yang semakin suram ini. Anugerah Industri Muzik (AIM) kini sudah tidak lagi kategori untuk Nasyid.

- Alhamdulillah, sekarang semakin ramai pendokong muzik dan hiburan Islamyang berhijrah dari muzik mainstream sebagai artis biasa, tapi kami risau, memandangkan sedikit demi sedikit ada artis nasyid yang berhijrah ke aliran muzik biasa, yang tidak membawakan lagu-lagu da'wah.

- itulah ujiannya dalam kehidupan sebagai seorang penda'wah dan juga penasyid. Saya pernah berkhidmat di UPM seagai tutor di bahagian kaunseling. Saya diberi pilihan, nasyid atau kaunselor ? Jika saya memilih nasyid, saya perlu membayar RM 120,000 kepada pihak UPM, sebab saya dah tandatangan kontrak. Saya fikir-fikirkan, istikhoroh, saya pilih nasyid, kerana untung rugi dan rezeki itu di tangan Allah. Kenapa saya pilih nasyid, kerana bagi saya, tidak semua orang yang ada kebolehan untuk bernasyid dan saya bersama-sama sahabat yang lain sedia menempuhi bermacam-macam lagi ujian sepanjang karier, pernah ditipu berpuluh malahan ratusan ribu ringgit, namun alhamdulillah, kami masih boleh bertahan sehingga ke hari ini, kerana kami ingin memastikan bahawa da'wah melalui nasyid ini akn terus berkembang dan bergerak.

Yang ni pula antara kata-kata Ustaz Dr. Erwan yang best !
- saya nak kongsikan kisah di sebuah pusat serenti, semua pegawai dalam tu panggil pelatih dengan panggilan yang tak berapa sedap, nada yang marah dan menimbulkan rasa tidak hormat kepada pegawai-pegawai itu. Satu ketika ada pelatih bergaduh. Susah nak leraikan. Dorang panggil seorang ustaz yang ditugaskan oleh pihak Jabatan Agama Islam
berkhidmat di dalam pusat serenti tu. Bila ustaz ni datang, pelatih semua ikut cakap ustaz tu. Ustaz tu tegur seolah-olah mereka tidak pernah pun membuat kesalahan sebelum ni. Bila ustaz tu buat macam tu, pelatih-pelatih ni rasa terharu. Orang yang berubah ni memang tidak lari dari ujian seperti itu, dipandang rendah dan hina kerana kekurangan dan kesalahan yang lalu.

- antara faktor orang lain susah untuk berubah, apabila hati tidak bersih. satu ayat quran menyebutkan bahawa kita perlu bersuci sebelum menyentuh Al-Quran yang suci secara zahir dan batin itu. Hati yang tidak bersih itulah yang menjadi punca kandungan Al-quran itu tidak dapat menyentuh kita/manusia secara zahir dan batin. Kalau dibacakan ayat-ayat quran pun, orang yang hati kotor ni buat rilek saja.

- kalau kita benar-benar bertekad untuk berubah, bertaubat dan berhijrah untuk menjadi lebih baik atau melupakan segala kesilapan yang lalu, bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat kepada Allah. Tapi taubat tidak selesai setakat menyatakan taubat nasuha dan menyesali saja, tapi harus disusui dengan perbuatan-perbuatan yang baik, sebagai kafarah kepada segala kesilapan yang lepas. Selain itu, jangan lupa ajak orang lain untuk sama-sama buat kebaikan. Insyallah dengan apa yang kita sampaikan kepada orang lain, menjadi sumber muhasabah kepada diri kita sendiri serta modal untuk mengajak orang kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Insyallah, dengan sedikit perkongsian ini, harapnya sahabat-sahabat pembaca semua dapat sedikit sebanyak manfaat untuk diri sendiri dan juga orang lain.

*Quotasi para personaliti di atas adalah berdasarkan huraian dan ditulis berdasarkan cara penulisan dan kefahaman kami dengan ayat yang dikeluarkan oleh mereka. Kami membuat catatan ringkas sepanjang forum berlangsung dan kami garap dengan ayat kami sendiri :)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...